Isnin, 25 April 2011

saman oh saman

JOHOR

ARKIB : 19/01/2010
Peserta Felcra tuntut RM8.6j

Oleh SAHBULAH DARWI
utusanjohor@utusan.com.my


JOHOR BAHRU 18 Jan. - Seramai 56 peserta Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi menuntut agensi itu menjelaskan bayaran balik perbezaan pendapatan terkurang berjumlah RM8.6 juta yang sepatutnya dibayar sejak 1986 hingga 2005.

Pengerusi jawatankuasa bertindak peserta itu, Daud Arshad, 55, mendakwa, ia berdasarkan tuntutan secara purata sebanyak RM1,000 seorang bagi setiap bulan dalam tempoh itu berbanding bayaran yang diberikan sebelum ini kira-kira RM270 sebulan.

"Tuntutan setiap peserta Felcra adalah RM155,000 seorang dan disebabkan ada 56 orang yang menuntut, maka jumlah keseluruhannya ialah RM8.6 juta," katanya ketika ditemui di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir setiausaha jawatankuasa itu, Mohd. Yusof Mohd. Noor, 56, dan ahli jawatankuasanya, Sani Ahmad, 58, serta Mohd. Jamil Ibor, 53.

Daud melahirkan perasaan kesal kerana peserta Felcra yang mengusahakan 4.4 hektar seorang hanya diberikan pendapatan kira-kira RM270 sebulan dalam tempoh 20 tahun lalu.

Katanya, jumlah itu di bawah paras kemiskinan dan tidak padan dengan harga jualan kelapa sawit termasuk pada tahun tertentu ketika harga komoditi tersebut melambung tinggi.

"Sejak dulu, apabila peserta bersuara untuk menuntut hak mereka, pegawai Felcra berkata, kami tidak layak bersuara selagi hutang belum dibayar habis.

"Sekarang hutang-hutang sudah habis kami bayar dan telah keluar pun daripada menyertai Felcra. Jadi hari ini kami mahu menuntut hak kami," katanya.

Selain bertemu dengan pegawai Felcra, Daud berkata, mereka juga telah menghantar surat kepada Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pada 5 November 2009, namun tiada sebarang jawapan diterima setakat ini.

Katanya, mereka juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada 14 Disember lalu.

"Disebabkan masih tiada sebarang maklum balas setakat ini, maka kami merayu untuk bertemu dan berbincang.

"Tetapi jika tiada sebarang jawapan dalam tempoh 10 hari, kami tiada pilihan untuk membawa masalah ini ke mahkamah untuk tindakan undang-undang," katanya.

Felcra Sungai Ara mempunyai 287 peserta dengan keluasan tanah 1,600 hektar dan setiap pengusaha mempunyai ladang kelapa sawit seluas 4.4 hektar.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan