Saturday 14 March 2015

SEJARAH PENGAKAP MELAKA



Persekutuan Pengakap Malaysia, Negeri Melaka telah ditubuhkan di bawah Akta Parlimen No.38 (1968) pindaan No.134 (1974).
KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGERI MELAKA sekarang ialah Encik Mohd. Zamir Bin Haji Mohd. Sharif.
Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Kader bin Md. Noor, yang sebelum ini memegang jawatan tersebut, telah dilantik sebagai Penolong Ketua Pengakap Negara merangkap Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Negeri Melaka (Pentadbiran).
Ibupejabat Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka (PPMNM) terletak di alamat, No. 674-A, Taman Melaka Raya 75200 Bandar Hilir Melaka. No. Tel/Faks : 06-2811978. Email rasmi :melakascout@melakascout.org
Email lain : melakascout@gmail.com , pengakapmelaka@yahoo.com

Sejarah Pengakap Melaka bermula pada tahun 1925, apabila Pengetua Malacca High School waktu itu, Mr. C. G. Coleman, memperkenalkan Pergerakkan Pengakap buat pertama kalinya kepada pelajar di sekolah itu pada 28 Februari 1925. Seterusnya, Pergerakkan Pengakap, Malacca High School telah didaftarkan dengan rasminya pada 7 Mei 1925, menjadikannya kumpulan pengakap yang pertama sekali berdaftar di negeri Melaka.
Pada ketika itu, enam orang murid lelaki telah dipilih dan diberikan latihan sebagai ketua sekawan. Mereka ialah B. Hand RajTan Boon TengJ. A. R. WallingtonAbdul Rahman Bin Hj. NurdinBachik Bin Suboh dan M. RajahScoutmaster waktu itu pula ialah Mr. W. B. O. Sullivan, sementara En. Gurdial Singh pula sebagai penolongnya.
Selepas Malacca High School sebagai kumpulan ‘1st Malacca’, Pergerakkan Pengakap berkembang dan ditubuhkan pula di Sekolah Methodist (ACS). Kumpulan di Sekolah Methodist (ACS) ini dikenali sebagai ‘2nd Malacca’ dan seterusnya ‘3rd Malacca Troop’ pula telah ditubuhkan di Sekolah St. Francis. Seterusnya kumpulan ‘4th Malacca Troop’ telah ditubuhkan di Tranquerah English School. Aktiviti pengakap pada ketika itu dikira lengkap apabila 1st Troop telah berjaya menamatkan pengembaraan sejauh 136 batu ke Seremban, Port Dickson dan berpatah balik ke Melaka.
Pada bulan November 1925, Ketua Pesuruhjaya ketika itu, Mr. F. C. Sands, telah melawat Melaka dan mengadakan satu mesyuarat di Malacca Club. Hasilnya, Persekutuan Mengakap Melaka telah ditubuhkan dengan Mr. R. O. Brunton dilantik sebagai Pesuruhjaya Daerah yang pertama.
Pada tahun 1926, buat pertama kalinya keempat-empat ‘Troop’ yang telah tertubuh di Malacca High School, Sekolah Methodist (ACS), Sekolah St. Francis dan di Tranquerah English School pada tahun sebelumnya, telah digabungkan untuk menghadiri satu perjumpaan pengakap. Ianya menjadi perjumpaan pengakap yang julung-julung kalinya diadakan di negeri Melaka.
Bermula dari situ, Pergerakkan Pengakap pada waktu itu telah mula menyumbang tenaga dan khidmat dalam beberapa acara dan aktiviti seperti membuat jualan tiket, membantu ‘Jumble Sales’, menghiburkan Tentera Laut Negeri China dan menyertai perbarisan semasa perarakan ulangtahun Raja-Raja Melayu.
Tahun-tahun berikutnya telah menyaksikan Persekutuan Pengakap Negeri Melaka terus cemerlang dan terus memberikan sumbangan tenaga serta sentiasa bersedia berkhidmat selain memainkan peranan penting dalam banyak aktiviti dan program Persekutuan Pengakap Malaysia, Pengakap Negeri Melaka juga kepada Kerajaan Negeri Melaka.

Sesungguhnya, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka merupakan satu pergerakkan yang matang, sematang usianya 90 tahun!