Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 29 April 2008

PAK LAH SERAH KUASA DISEMBER INI ??

Oleh: Nak Marah Marahlah

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang semakin hilang kepercayaan rakyat dikatakan akan menyerahkan kuasa disandang kepada penggantinya semasa pemilihan pucuk pimpinan UMNO Disember ini. Inilah perkembangan terbaru hasil bualan ahli-ahli parti yang dilapor semakin bosan dengan gelagat pemimpin atasan sehingga mengakibatkan prestasi Barisan Nasional (BN) merudum teruk pada pilihanraya umum (PRU) ke-12 lalu.

Dakwa mereka, banyak tindak tanduk Pak Lah setakat ini telah menimbulkan keributan kepada orang ramai dan kadangkala mereka sendiri tidak menyangka ucapan dan kata-kata terutama semasa menjawab soalan media dengan nada penuh emosional datangnya daripada seorang Perdana Menteri.

Jika pertanyaan kerap dijawab Pak Lah sedemikian rupa, bagaimana pula pandangan orang luar terhadap kewibawaan beliau selama ini dikenali sebagai Mr Clean dan petah berhujah ketika berucap di khalayak umum. Andai tekanan akibat kekalahan teruk BN pada PRU lalu atau terlalu letih dilihat faktor perubahan percakapan Pak Lah, amatlah malang nasib rakyat yang memberi mandat kepada BN memerintah negara.

Tambah mereka, lagi cepat Pak Lah mengalihkan kuasa tersebut, lagi baik kepada BN yang dilihat mempunyai tugas besar dalam pemulihan imej dan mengembalikan kepercayaan rakyat tanpa perlu menunggu perubahan ini dilakukan pada tahun 2010.

Oleh itu, tidak timbul soal kewajaran Pak Lah meletakkan jawatan walaupun ada desakan itu dilakukan oleh sebahagian UMNO bahagian. Apa yang lebih penting lagi, peralihan kuasa segera ini akan memberi gambaran positif kepada personaliti Pak Lah yang sanggup menanggung risiko sebagai pemimpin bertanggungjawab.

Inilah dikatakan adat orang berpolitik, ada pasang surutnya. Dulu ramai membelakangi Pak Lah ketika beraksi menentang team Wawasan naungan Dato' Seri Anwar Ibrahim, kini mengampu setelah bergelar PM dan akan datang tak tahulah apa akan jadi. Disinilah peri pentingnya Pak Lah merenung sejenak di tingkap Perdana Putra sambil bertanya diri sendiri mengapa kretibiliti beliau semakin tercalar sehingga BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan terpaksa menyerah 5 negeri ke tangan pembangkang?

Tiada gunanya menunding jari kepada mana-mana pihak khususnya kepada pengkhianat dalam parti pada hal satu post mortem harus dilakukan dalam semua aspek dan mencari jalan untuk menanganinya.

Pada masa yang sama, kita percaya Pak Lah sudah menyelami setiap pemimpin dibawahnya yang boleh diangkat sebagai pengganti biarpun ketika ini nama Datuk Seri Najib Tun Razak berada di kedudukan paling atas berlandaskan posnya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak hairan jika nama lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut bermain di minda Pak Lah selepas mengambil kira kewibawaan mereka dalam kerajaan serta mampu menyaingi kehebatan pemimpin barisan Pakatan Rakyat yang semakin hari meniti dibibir rakyat. Semuanya terpulanglah kepada kebijaksanaan Pak Lah sendiri kerana kuasa penentu berada di tangannya sekarang.

http://nakmarahmarahlah.blogspot.com/

Tiada ulasan: