Saturday 13 April 2013

Satu Demi Satu

Assalamualaikum w.b.t.



Kereta, alat pengangkutan yang sangat digilai terutama golongan lelaki. Begitu juga aku. Namun, sayangnya aku hanya mampu berangan-angan kerana masih belum mampu memiliki. Mujur abah tidak kisah dengan gelagatku yang gila-gila terhadap kereta. Pada kali ini, abah hanya mempelawa singgah ke kedai aksesori kereta di Kluang. Aku hampir-hampir terlajak sewaktu hendak pulang ke rumah. Namun, sebagai anak, peluang ini tidak dilepaskan. Sudah lama rupanya abah tidak membetulkan kereta walaupun telah diservis sebulan lalu. Abah mencadangkan kepada mekanik supaya menggantikan pelindung tingkap. Harganya murah, sekitar RM40. Abah meneliti satu persatu aksesori yang dijual di kedai itu. Tiba-tiba, abah mula bertanya tentang penggera kereta. Kereta bapaku itu sememangnya sudah lama tidak berpenggera. Aku bersetuju dengan cadangan bapaku. Tatkala itu aku terfikir seketika, mesti banyak belanja. Mekanik kedai sememangnya bersungguh-sungguh menyuruh abah memasang penggera. Aku hanya mengangguk. Makin bertambah kerja mekanik itu. Setelah pemasangan pelindung tingkap, mekanik tersebut mula memasang penggera. Selepas siap memasang penggera bapaku mula tertarik dengan lampu brek yang digantung pada rak. Aku meminta mekanik untuk memeriksa pengelap cermin kereta yang mempunyai sedikit masalah. Aku memberitahu abah bahawa lampu tersebut tidak perlu dipasang kerana lampu brek belakang masih berfungsi dengan baik. Selain itu, pemasangan lampu itu hanya akan membazir wang dan tenaga kerana kebanyakan orang hanya memasang lampu tersebut untuk bergaya. Abah mengiyakan pendapatku sahaja. Aku tersenyum  seketika, kerana memikirkan apa yang berlaku tidak seperti yang dirancang. Kos kesemua sekali berjumlah hampir RM600. Mujur abah mempunyai wang yang cukup. Selepas ini, sekiranya hendak berbelanja, setiap perkara perlu dirancang dengan betul supaya dapat berbelanja dengan lebih sistematik. Hal ini bagi mengelakkan pembaziran atau berbelanja di luar kadar perbelanjaan.

Musim Memancing Undi

Assalamualaikum w.b.t.



Aku tersenyum melihat banyak bendera-bendera dipasang di sekitar jalan. Tidak kira bendera parti apa sekali pun, penuh menghiasi jalan raya di kawasan perumahan sekitar. Pelbagai rupa dan gaya dibuat oleh mereka yang memasang poster. Namun begitu, terdapat juga poster yang dibentang menghalang pandangan laluan mahupun papan tanda. Hal ini menyebabkan aku hampir-hampir tidak menyedari kenderaan bergerak dari jalan besar menuju ke kawasan perumahan. Pemasangan poster seharusnya dilakukan dengan betul dan dipasang di kawasan-kawasan yang sesuai. Perkara ini juga tidak boleh dipandang remeh supaya dapat mengelakkan kesan yang buruk dari segi keselamatan.

Nostalgia Kanak-kanak

Assalamualaikum w.b.t.



Aku ceria melihat anak-anak jiran bermain di halaman rumahku. Sedikit sebanyak mewujudkan sedikit keriuhan di kawasan taman perumahan. Aku melihat ada antara mereka yang berlari-lari, mengayuh basikal dan bermain bola. Ada juga kedengaran pekikan semasa mereka bermain. Mungkin terlalu gembira... Namun suasana kanak-kanak itu berbeza dengan zaman yang telah lama kutinggalkan. Mereka agak sedikit agresif dan ada antara mereka yang degil. Tetapi kedegilan mereka itu sedikit sebanyak mengimbau semula kenangan dirotan dan didenda oleh ibu. Kanak-kanak sekarang perlu didekati dengan lebih bijak berbanding dulu. Jika dulu, anak-anak dididik dengan perkara yang mereka lihat saja, kini mereka hidup dalam zaman teknologi lebih mudah dibiasakan dengan alat-alat peranti terkini. Namun, sebagai kanak-kanak yang sedang membesar, seharusnya mereka perlu didedahkan dengan suasana luar supaya mereka tahu bersosial dengan kelompok masyakarat. Sikap inilah yang perlu dipupuk oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka sebagai pelapis generasi masa depan.

Sebu

Assalamualaikum w.b.t.



Makan... Perkara yang sangat sinonim dengan kehidupanku. Namun bukan perihal jenis makanan yang ingin aku catatkan dalam diari ini, tetapi lebih kepada suasana sewaktu makan. Aku gemar makan di luar rumah apabila berada di Perak. Tidak kisah di warung atau restoran, kesemuanya menjadi pilihan lebih-lebih lagi apabila perut mula berbunyi. Aku masih ingat rakanku menggelar aku 'naga' atau 'mesin penyedut'. Soalnya, aku selalu menghabiskan makanan dengan cepat walaupun dalam kuantiti yang banyak. Sememangnya perkara itu menjadi kebiasaan bagiku. Aku lebih suka bergerak pantas bukan sahaja sewaktu makan. Namun, aku masih berjaga-jaga dengan tahap pengambilan makanan. Jika tidak mengambil makanan secara betul, maka aku mudah sebu. Apabila perkara itu berlaku, maka tidak senang duduklah aku kerana terpaksa mencari minuman bergas atau meminum ENO bagi melegakan keadaan. Perkara ini berlaku pada dua hari lepas sewaktu aku makan malam di rumah saudaraku. Pada waktu itu aku sedang asyik menjamah udang goreng. Selepas itu aku mula berasa sebu sebelum pening kepala. Aku tidak senang duduk selepas makan malam itu, berjalan ke hulu hilir rumah sepupu bagi menenangkan keadaan. Boleh dikatan waktu itu jiwaku kacau akibat perut meragam. Sebagai jalan penyelesaian aku mengikut sepupuku keluar bagi membeli ENO. Dalam keadaan yang tidak selesa itu, sempat aku menemaninya ke tempat kerja. Mujur selepas pulang aku terus menyiapkan minuman tersebut sebelum berehat. Selepas ini, aku perlu berhati-hati dalam soal makan supaya tidak berlaku lagi situasi sebegitu.

Friday 12 April 2013

Kemalangan Jalan Raya

Assalamualaikum w.b.t.



Tiga hari lepas, sewaktu aku dalam perjalanan ke Kulai, sebuah lori kelihatan terbalik di jalan bertentangan. Beberapa orang mendekati kenderaan tersebut. Papan tanda amaran diletakkan di tengah-tengah jalan. Berdasarkan pengamatanku, lori tersebut kemungkinkan hilang kawalan. Hal ini berdasarkan kesan tayar yang masih jelas di permukaan jalan. Selain itu, kawasan lori itu terbalik berada di kawasan selekoh tajam. Jalan yang aku lalui itu sememangnya dalam keadaan tidak elok dengan beberapa lubang kelihatan di tengah dan tepi jalan. Selain itu, saiz jalan yang kecil meningkatkan risiko kemalangan. Menerusi kejadian tersebut, sebagai pengguna jalan raya, kita perlulah berhati-hati selain mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Selain itu, keadaan struktur jalan juga perlulah dipantau oleh pihak penyelenggara jalan raya. Hal ini demikian kerana penggunaan kenderaan berat akan memberikan kesan ke atas permukaan jalan. Hal ini boleh menyebabkan berlakunya keretakan jalan mahupun menyebabkan jalan berlekuk. Semua ini sebenarnya mampu membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Bercuti 2

Assalamualaikum w.b.t.


Pada kali ni pula, aku telah ke Tanjung Sedili bagi melihat sendiri suasana kawasan pendaratan ikan dan hasil laut. Aku telah berkampung di rumah saudaraku di Felda Tenggaroh Selatan Dua selama sehari. Pada jam 10.20 pagi aku tiba di jeti bagi melihat hasil laut tiba. Terdapat pelbagai hasil laut yang boleh didapati dengan harga yang meurah. Kedua ibu bapa saudaraku membeli beberapa ikan laut seperti bawal manakala ibu bapaku membeli ikan togok dan puput. Suasana di pasar tidak sesibuk hujung minggu kerana tidak ramai pelanggan yang membeli ikan di kawasan itu. Hasil-hasil laut ini dijual terus kepada pelanggan di situ. Bagiku, harga yang dijual di jeti lebih berbaloi berbanding pasar-pasar yang berdekatan dengan kawasan penempatan.

Bercuti 1

Assalamualaikum w.b.t.



Jarang sekali aku dapat berjalan-jalan sewaktu cuti. Namun pada kali ini aku telah berpeluang ke Kukup, Pontian. Aku berjalan-jalan ke Tanjung Piai bersama-sama rakanku selepas selesai menyiapkan tugasan di SMK Sri Kukup. Perjalanan mengambil masa 15 minit dari sekolah. Dalam perjalanan, aku melihat suasana kawasan petempatan kampung yang serba cantik. Rakanku terpegun melihat suasana kawasan kampung yang tenang. Terdapat banyak rumah inap yang tersedia di sekitar kawasan Tanjung Piai. Namun, setelah tiba di destinasi, rakanku memberitahu bahawa kawasan tersebut masih jauh dari lokasi penghujung benua Asia. Jika hendak ke kawasan tersebut hanya boleh berjalan kaki. Walaupun hampa dengan keputusan yang diberikan oleh rakanku, tetapi aku masih berpuas hati dapat 'makan angin' sewaktu cuti kali ini.