Rabu, 8 Mei 2013

Kata-kata Aluan atau Kata Alu-aluan



 Jika kita merujuk kepada kamus, kita akan dapati kata dasar bagi perkataan alu-aluan atau aluan ialah alu. Ada tiga makna yang diberikan bagi kata alu. Yang pertama ialah alat penumbuk padi atau antan. Makna yang kedua kata alu dijadikan bentuk terbitan mengalu-alukan untuk menimbulkan makna menyambut kedatangan tetamu. Makna yang ketiga pula ialah sejenis ikan laut dan kacang merah.
Dengan mengambil makna yang kedua kita dapat melihat cara kata alu mengalami dua proses penerbitan kata. Yang pertama ialah proses penggandaan iaitu alu menjadi alu-alu. Yang kedua ialah proses pengimbuhan iaitu penambahan apitan meN-…-kan pada kata alu-alu lantas terbit kata mengalu-alukan. Dengan kata lain, tidak betullah bentuk mengalukan. Jadi kita tidak boleh mengatakan Saya mengalukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan.
Dengan berdasarkan proses terbentuknya kata mengalu-alukan maka dapat kita tentukan bentuk kata nama yang terbit daripadanya. Kata atau ucapan untuk mengalu-alukan seseorang ialah alu-aluan, bukannya aluan. Jadi ungkapan yang tepat ialah kata alu-aluan. Demikian juga ucapan untuk menyambut kehadiran tamu ialah ucapan alu-aluan, bukannya ucapan aluan. Hal ini demikian kerana kata dasar alu perlu digandakan menjadi alu-alu lebih dulu untuk menimbulkan makna menyambut kehadiran tamu.
Sekian, untuk panduan semua.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan