Wednesday, January 13, 2016

Pantun Burung Perepat

Apa tanda burung perepat,
mematuk bunga saban senja;
Apa tanda kiamat dekat;
memegang agama laksana bara

Apa tanda burung perepat,
penjang sayap mengibas-ngibas;
Apa tanda kiamat dekat,
nafsu syahwat sesuka lepas

Apa tanda burung perepat,
di atas batu dipatut elang;
Apa tanda kiamat dekat,
perempuan berbaju seperti telanjang

Apa tanda burung perepat,
memakan gambir sarang berangin;
Apa tanda kiamat dekat,
orang pandir diangkat pemimpin

Apa tanda burung perepat,
jalan berjinjit disela-sela;
Apa tanda kiamat dekat,
membangun masjid berbangga-bangga

Apa tanda burung perepat,
tinggi terbang berkelebat;
Apa tanda kiamat dekat,
gadis-bujang bersidekap

Apa tanda burung perepat,
mendedah bunga dimana-mana;
Apa tanda kiamat dekat,
orang berzina dimana suka

Apa tanda burung perepat,
dua-tiga main di sawah;
Apa tanda kiamat dekat,
wanita-pria tak sepadan jumlah

Apa tanda burung perepat,
di atas dahan panjang bermenung;
Apa tanda kiamat dekat,
gadis berjalan berbaju tanggung

Apa tanda burung perepat,
di dalam semak meremang bulu;
Apa tanda kiamat dekat,
durhaka anak kepada ibu

Apa tanda burung perepat,
di dalam semak sayap mengepak;
Apa tanda kiamat dekat,
lahir anak tidak berbapak

Apa tanda burung perepat,
di dalam semak mati tertindih;
Apa tanda kiamat dekat,
muslim banyak seperti buih

Apa tanda burung perepat,
di atas batu jalan melonjak;
Apa tanda kiamat dekat,
bertuan ibu kepada anak

Apa tanda burung perepat,
terbang rendah hinggap di para;
Apa tanda kiamat dekat,
terbit fitnah dimana-mana

Apa tanda burung perepat,
bulu bergidik dipatuk angsa;
Apa tanda kiamat dekat,
orang fasik meraja-lela

Apa tanda burung perepat,
terbawa angin pulang tersesat;
Apa tanda kiamat dekat,
raja zalim dibenci rakyat

Apa tanda burung perepat,
di atas pagar riuh terdengar;
Apa tanda kiamat dekat,
salah-benar tertukar-tukar

Apa tanda burung perepat,
di atas pagar mencari angin;
Apa tanda kiamat dekat,
orang benar mati terasing

Apa tanda burung perepat,
di dalam semak kaki tersula;
Apa tanda kiamat dekat,
bumi bergolak mengirim bencana.

Apa tanda burung perepat,
belang mata gundul kepala;
Apa tanda kiamat dekat,
makan riba lumrah belaka

Apa tanda burung perepat,
terbang berarak saban senja;
Apa tanda kiamat dekat,
fitnah semarak sudah biasa

Kerja Adalah Ibadah & Amanah

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk
 Allah, Tuhan semesta alam” (Surat  Al-An'aam ayat 162)

IBADAH berasal dari Bahasa Arab yang bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah adalah nama yang menggabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhai Allah dari jenis perkataan atau perbuatan lahir dan batin. Ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sehinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara. Kerja pula merupakan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu perkara bagi mendapatkan upah atau ganjaran. Manakala amanah pula bermaksud memenuhi dan mematuhi segala apa yang telah dipertanggungjawabkan.
Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah merupakan tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh seseorang untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram, syurga atau neraka. Di antara ciri-ciri pekerja dan pekerjaan yang dianggap sebagai ibadah adalah:-
·      Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;
·      Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;
·      Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib seperti solat.
·      Menghasilkan kerja yang berkualiti.
·      Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;
·      Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;
·      Menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai, suka berbangga dengan memberitahu kepada orang lain akan amal kebajikannya dan menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan amal ibadah.
Islam mengajar umat-Nya agar sentiasa berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan akhlak. Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa bekerja itu bukan sekadar tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara malah ia merupakan amanah Allah SWT.
Berapa ramai di antara kita (pekerja) yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti pekerja yang memandang remeh mengenai kerja, bekerja dengan sambil lewa, curi tulang, menggunakan peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, solat pada waktu kerja sedangkan masa yang diperuntukkan untuk solat diisi dengan berbual kosong.

“Makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata.”
(Surat An-Nahl, ayat 70)
Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan istiqamah pada niat seawal melangkah keluar dari rumah bahawa semua kerja yang dilaksanakan kerana Allah SWT. Mudah-mudahan setiap pergerakan dari mula hingga pulang ke rumah dikira sebagai ibadah dan rezeki yang diterima penuh dengan keberkatan.