Friday 18 March 2011

aspek penJAGAan

Terdapat tiga tahap atau dimensi dalam aspek pencegahan:
  1. Pencegahan primer
  2. Pencegahan sekunder
  3. Pencegahan tertier
Pencegahan primer melibatkan tindakan individu untuk mencegah dari berlakunya penyakit atau ketidakupayaan atau kecacatan. Di antara contoh tindakan ialah imunisasi dan vaksinasi. Pencegahan sekunder pula melibatkan pengenalpastian di peringkat awal keadaan kesihatan seseorang individu. Di antara contoh yang sering dilakukan oleh individu ialah pemeriksaan perubatan dan fizikal untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami penyakit seperti diabetis (kencing manis), hipertensi (darah tinggi), atau kegagalan jantung. Individu juga sering melakukan pemeriksaan gigi atau mata untuk memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Aspek pencegahan tertier pula membabitkan tindakan yang diambil untuk mengurangkan tahap ketidakupayaan individu akibat daripada penyakit yang sedang dialami olehnya. Contohnya, pesakit akan mengawal keadaan penyakit diabetisnya dengan mengambil ubat sebagaimana yang diarahkan oleh doktor serta mengawal diet (pemakanan) supaya individu itu tidak mengalami masalah retinopati (kerosakan mata), neuropati (kerosakan sistem saraf) ataupun nefropati (kerosakan buah pinggang) akibat daripada keadaan diabetis yang tidak terkawal.

tips penJAGAan jantung

Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalarn tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dan awal diberikan kepada jantung.

Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.

Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang. Bagaimanakah caranya?

Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.

Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.

Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan. Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.

Kawalan berat badan

Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.

Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.

Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.

Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.

Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.

Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam

Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung.

Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.

Perubahan gaya hidup

Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah. Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.

kelainan PAYU DARA yang tidak bahaya

Anda mungkin pernah ataupun mempunyai simptom-simptom berikut:

- Adakah anda merasa ketulan, benjolan ataupun kawasan yang 'keras' di payudara anda?
- Adakah payudara anda berasa sakit ataupun terasa sakit bila disentuh (sensitif)?
- Adakah kesakitan payudara (mastalgia) menjadi lebih kuat apabila anda kedatangan haid?
- Adakah kesakitan tu berterusan dan tidak mengikuti kitaran haid?
- Adakah anda perlu memakan ubat untuk menghilangkan rasa sakit payudara?
- Adakah kelainan payudara anda menjejaskan perhubungan anda dengan suami anda?

Jika jawapan anda 'ya' bagi mana-mana soalan di atas, maka anda mungkin mengidap keadaan yang dikenali sebagai kelainan payudara yang tidak berbahaya (benign). Keadaan ini juga dikenali sebagai penyakit payudara fibrocystic, mammary dysplasia, penyakit payudara tidak berbahaya (benign) atau sistik mastitis kronik.

Berapa kerapkah kelainan payudara tidak berbahaya ini berlaku?

Doktor mendapati ramai pesakit mengalami keadaan payudara ini. Kebanyakan wanita mempunyai struktur tisu yang membolehkan keadaan ini berlaku. Oleh itu, ini merupakan penyakit yang paling kerap menimpa payudara!

Apakah kelainan kelainan payudara yang tidak berbahaya?

Kelainan ini adalah penyakit bukan kanser (barah) yang boleh terjadi pada sebelah atau kedua-dua belah payudara. Ia selalunya dikenali dengan adarya ketulan ataupun ketulan berisi cecair (cyst) ataupun sista. Ia boleh terjadi di satu bahagian payudara atau melibatkan keseluruhan payudara. Ia boleh menimbul sebagai satu atau banyak ketulan berisi cecair. Ketulan ini mungkin terasa sakit atau hanya terasa sakit apabila disentuh. Ia juga mungkin hilang terus untuk seketika dan timbul semula kemudiannya.

Perubahan hormon akan menyebabkan kelainan payudara berubah-ubah, terutama perubahan yang berkaitan dengan kitaran haid. Kelainan ini boleh terjadi di semua peringkat umur selepas kehadiran haid tetapi ia lebih kerap di antara umur 30 tahun dan umur tamat dating haid (menopaus).

Kelainan ini akan menjadi lebih teruk dengan meningkatnya umur, di mana pengeluaran hormon dan ovari telah mencapai tahap maksimum untuk beberapa tahun. Ia akan berkurangan selepas putus haid dan kebanyakan kelainan payudara akan hilang dalam masa 1 atau 2 tahun kecuali jika wanita tersebut mendapat rawatan estrogen tambahan. Sesetengah wanita akan mengidap ketulan berisi cecair sehingga tua, walau apa pun rawatan diberikan.

Apa yang menyebabkan kelainan ini?

Mengapa penyakit ini terjadi masih belum diketahui, tetapi keadaan ini dipercayai disebabkan oleh ketidak seimbangan hormon seks wanita. Ia tidak akan terjadi sebelum umur mula datang haid dan akan berkurangan selepas umur tamat haid (menopaus).

Bagaimana saya tahu bahawa saya mengidapnya?

Kelainan ini selalunya dikenali semasa wanita berjumpa doktor untuk pemeriksaan atau semasa cuba mendapat rawatan kerana kesakitan atau terasa sakit apabila disentuh atau ketulan pada payu dara yang dirasai semasa melakukan pemeriksaan payudara sendiri.

Dalam keadaan ini doktor anda akan melakukan beberapa ujian atau merujuk anda ke doktor pakar. Ujian-ujian ini termasuklan ujian radiologi seperti mamogram atau X-ray payudara dan ultrasound. Satu lagi ujian ialah dengan menyedut keluar cecair dan ketulan tersebut untuk pemeriksaan makmal dengan menggunakan jarum.

Doktor pakar mungkn akan satu pembedahan kecil yang dipanggil biopsi di mana tisu dan ketulan akan diambil untuk diperiksa. Kalaulah ketulan anda sangat besar ataupun menunjukkan ciri-ciri yang meragukan, doktor pakar mungkin melakukan pembedahan untuk mengeluarkan ketulan tersebut.

Sekiranya keputusan ujian tidak menunjukkan kanser, doktor anda akan memberitahu anda berita baik ini dan memberi nasihat seterusnya. Anda harus bertenang semasa menunggu keputusan pemeriksaan ini. Ia merupakan perkara yang biasa kalau anda dinasihati untuk menjumpai doktor anda tiap tahun atau beberapa bulan sekali. Ini bergantung kepada keputusan patologi yang diterima dan simptom yang anda alami walaupun diagnosanya bukanlah barah atau kanser.

Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Sekiranya kesakitan tidak keterlaluan, atau hanya datang untuk beberapa hari dalam sebulan, kebanyakan doktor akan mencadangkan cara mudah untuk merawatnya. Gunakan coli yang baik dan pakai pakaian yang tidak ketat.

Anda juga mungkin akan dinasihatkan agar mengurangkan pengambilan kopi, teh dan cola di mana kandungan kafein boleh memburukkan keadaan. Kawal juga kandungan gula dalam makanan anda. Jika kesakitan payudara (mastalgia) berterusan, anda mungkin akan diberi ubat mengurangkan cecair di dalam badan (Diuretic) atau ubat penahan sakit.

'Rawatan' tersebut di atas hanya dapat mengurangkan rasa sakit untuk sementara waktu. Apabila kesakitan payudara menjadi lebih kuat sehingga menyekat aktiviti fizikal anda (berlari, menari atau senaman lain), rawatan yang lebih khusus mungkin diperlukan. Rawatan ini termasuklah memakan ubat yang telah biasa digunakan untuk memberi kesan jangka panjang menghilangkan rasa sakit pada keadaan kelainan ini. Ubat ini akan mengurangkan pengeluaran hormon di mana ia akan memberi peluang payudara anda berehat.

KANSER meningkat

Sebagai menandakan Hari Kanser Sedunia, Persatuan Kanser Amerika telah mengeluarkan satu laporan baru yang memberi amaran bahawa gaya hidup yang berhubungkait dengan pertumbuhan ekonomi di negara-negara membangun sedang menyebabkan peningkatan berlakunya kanser di seluruh dunia.

Malahan, kebanyakan dari kes-kes dan kematian baru kanser di dunia (7.1 juta dan 4.8 juta, masing-masing) adalah berlaku di negara-negara yang sedang membangun ekonominya, mengikut pengarang laporan tersebut. Ini, mengikut mereka, menggambarkan peningkatan penerimaan perlakuan yang tidak sihat – seperti merokok, gaya hidup yang tidak aktif dan amalan pemakanan yang tidak baik – yang lazimnya mengiringi pembangunan ekonomi.

Laporan tersebut, "Fakta & Bilangan Kanser Global (Global Cancer Facts & Figures)", menyatakan kanser paru-paru, payu dara dan kolorektal adalah menyumbang kepada peningkatan ini.

Daripada itu, kira-kira satu pertiga dari jumlah kematian kanser yang telah berlaku di seluruh dunia pada tahun 2008 (bersamaan dengan lebih kurang 7 300 kematian sehari) mungkin boleh dielak dengan memberi fokus terhadap faktor risiko yang boleh dielak seperti merokok, minuman keras, corak jangkitan dan tabiat pemakanan, kata ketua pegawai perubatan Persatuan Kanser Amerika Dr. Otis W. Brawley dalam satu editorial bersama dengan laporan tersebut.

"Penerapan pengetahuan kawalan kanser sedunia mengikut kemampuan dan pembangunan negara atau kawasan boleh menjurus kepada pencegahan lebih lagi kematian kanser dalam dua tiga dekad akan datang" katanya dalam siaran dari persatuan itu.

"Untuk mencapai itu, bagaimanapun, agensi-agensi kesihatan awam nasional dan antarabangsa, pihak kerajaan, para dermawan, dan sektor swasta perlu memainkan peranan utama dalam pembangunan dan penerapan program kawalan kanser nasional atau antarabangsa di seluruh dunia" tambah beliau.

Analisis penuh Persatuan Kanser Amerika dijadualkan untuk diterbitkan, bersama dengan rencana pengarang Brawley, dalam CA: A Cancer Journal for Clinicians edisi 4 Febuari.

Pengarang laporan tersebut menyatakan walaupun bilangan penyakit global 2008 (12.7 juta kes-kes kanser baru dan 7.6 juta kematian-kematian kanser), bilangan itu dijangka akan hampir berganda menjelang 2030 apabila penduduk dunia bertambah dan meningkat tua.

Di negara maju, sebagaimana pada 2008, kanser prostat, paru-paru dan kolorektal adalah paling boleh dielakkan dalam golongan lelaki, manakala kanser payudara, kolorektal dan paru-paru adalah yang paling biasa dalam kalangan wanita.

Sebaliknya, di negara membangun, risiko terbesar untuk lelaki adalah kanser paru-paru, perut dan hati, dan kanser payudara, paru-paru dan servikal adalah ancaman kanser utama bagi wanita.

STARTEgi ke arah promosi kesihatan

Dasar Kesihatan di Bawah Rancangan Malaysia ke-7 
Objektif kesihatan, strategi dan program di bawah Rancangan Malaysia 7 (RM7) akan memberi penekanan dari sudut promosi kesihatan, pencegahan penyakit, rawatan serta pemulihan dan pengekalan sistem kesihatan yang efisen dan adil. Kerajaan akan mempromosi cara hidup sihat di kalangan masyarakat. Sistem kesihatan di kawasan luar bandar akan dipermajukan. Sistem bekalan air dan sanitasi, program nutrisi dan imunisasi akan diperluaskan dan lebih ramai individu dijangka akan mendapat kemudahan tersebut. Lebih banyak hospital dan kemudahan kesihatan akan dibina. Kerajaan juga menggalakkan sektor kesihatan swasta berganding bahu dengan kerajaan untuk mencapai matlamat RM7. Usaha akan terus ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menguatkan program kesihatan dan rawatan dengan memperbanyakkan perkhidmatan sokongan.

Cara Pemakanan yang Sihat 
Statistik negara menunjukkan peningkatan kes-kes penyakit yang berkait rapat dengan corak pemakanan yang tidak sihat. Oleh itu, penekanan promosi kesihatan harus diberikan kepada tabiat dan cara hidup yang tidak sihat. Penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan darah tinggi masih menjadi punca utama (penyebab) kematian (15.5 peratus) di hospital-hospital kerajaan. Selain itu, sebanyak enam peratus daripada kematian pula disebabkan oleh penyakit diabetis (kencing manis). Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa lapan peratus daripada orang dewasa di negara ini mengalami masalah obesiti manakala 1/3 hingga 1/4 daripada masyarakat di negara ini pula mengalami masalah berat badan berlebihan. Sehubungan dengan aspek pemakanan yang sihat, kerajaan telah melancarkan kempen "Pemakanan yang Sihat" pada tahun 1997. Beberapa kaedah telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kempen tersebut berjalan lancar serta berkesan. Di antaranya ialah kerjasama di antara agensi kerajaaan dan bukan kerajaan serta badan profesional, menggunakan media massa untuk mendidik masyarakat, pengiklanan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah dan mempertingkatkan komunikasi interpersonal sama ada di klinik atau di peringkat komuniti. 

Konsep Teleperubatan 
Negara kita sedang menuju ke arah sistem penjagaan kesihatan yang bersepadu dan berintergrasi yang memberi tumpuan kepada promosi kesihatan, pencegahan penyakit dan penjagaan primer. Visi teleperubatan akan membantu mengubah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan industri kesihatan ke arah globalisi untuk perkhidmatan, produk dan pendidikan kesihatan. Teleperubatan ini akan digunakan sebagai alat untuk menggalakkan serta tanggungjawab yang lain dari aspek penjagaan kesihatan diri sendiri. 

Aspek-Aspek Lain 
Kerajaan dalam usahanya mempromosi kesihatan banyak menekankan kepada amalan cara hidup sihat di kalangan masyarakat melalui kempen anti merokok, anti alkohol dan anti dadah. Di samping itu, kerajaan juga mengenakan penalti yang berat terhadap individu yang terlibat di dalam pergaulan atau aktiviti seks rambang. Masyarakat juga digalakkan hidup di dalam suasana aman dan harmoni dan menghindari daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan ketegangan mental. Sememangnya masalah-masalah yang telah diterangkan itu boleh menyebabkan kanser, AIDS dan tekanan jiwa. 

Aktiviti promosi kesihatan di kalangan masyarakat negara membangun seperti Malaysia perlu dipergiatkan terutamanya apabila kos penjagaan kesihatan semakin meningkat dan negara sedang mengalami masalah kegawatan ekonomi.

PROMOsi kesihatan

Aspek promosi kesihatan telah mula diperkatakan sejak dua abad lalu tetapi hanya mendapat perhatian yang serius mulai tahun 1980an. Ia merupakan satu proses atau gerakan radikal yang menekankan kepada aspek sosial dan ekonomi. Aspek promosi kesihatan telah menonjolkan aspek kesejahteran kehidupan individu sebagai perkara asas dalam kesihatan masyarakat. Setiap individu, para profesional dan bukan profesional serta bukan agensi kerajaan atau kerajaan mempunyai peranan masing-masing dalam aktiviti promosi kesihatan.
 
Selain itu, dalam promosi kesihatan perlu menekankan aspek kesihatan yang positif. Kebanyakan individu masa kini mengambil tindakan positif untuk menjaga kesihatan dan bukan semata-mata hanya memberi respon terhadap tanda penyakit yang mereka alami.

Promosi kesihatan turut melibatkan pelbagai kaedah yang memudahkan individu mengekal dan menjaga kesihatan. Promosi kesihatan boleh didefinisikan sebagai tindakan yang menjurus kepada pembaikan atau perlindungan kesihatan menerusi perubahan tingkah laku, biologi, sosio-ekonomi dan persekitaran. Promosi kesihatan juga melibatkan bukan sahaja aktiviti penyebaran maklumat tetapi juga membabitkan perubahan untuk mempengaruhi aktiviti-aktiviti individu, kumpulan, masyarakat, pihak majikan dan pihak berkuasa tempatan.

Thursday 17 March 2011

Definisi kesihatan:))

Definisi kesihatan yang diutarakan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah:
 
Kesihatan ialah satu tahap atau keadaan di mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit atau tidak berdaya.
Takrifan ini sebenarnya melibatkan dua aspek penting dalam kesihatan iaitu aspek negatif (berpenyakit, tidak sihat, cedera, cacat atau tidak berdaya/lemah) dan aspek positif (kesejahteraan dari segi fizikal, mental dan sosial).
 
Dalam kehidupan sehari-hari, individu, masyarakat atau ahli profesional sering menekankan aspek negatif dan mengabaikan aspek positif. Begitu juga dari aspek promosi kesihatan, kita sering menekankan aspek pencegahan penyakit dan kurang mempromosikan dimensi kesihatan yang positif dan menjurus ke arah kesejahteraan hidup.

Perbezaan di antara kedua-dua aspek kesihatan ini amat penting kerana ia dapat memastikan aktiviti promosi kesihatan adalah berkesan dan mencapai matlamatnya. Aktiviti promosi kesihatan seharusnya cuba mencegah penyakit atau keadaan tidak sihat dan pada masa yang sama ia harus mampu menggalakkan kesihatan yang positif pada individu atau masyarakat. Matlamat keseluruhan promosi kesihatan ialah mencapai keseimbangan di antara penggalak kesejahteraan dan pencegahan keadaan tidak sihat dari segi fizikal, mental dan sosial.